man-healthy-food-eat

“Life starts at 40” adalah pepatah yang sangat popular merujuk kepada mereka yang menjangkaui usia 40-an, khususnya bagi lelaki yang kerap kali diserasikan dengan pepatah tersebut.

Apapun makna di sebaliknya, kaum Adam sentiasa diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan ketika usia menjangkaui 40-an.

Maklumlah, usia itu dilihat genting apabila satu per satu penyakit akan mula mengambil giliran selain masalah fizikal yang lain termasuk penambahan berat badan.

Nak jaga keluarga, pendidikan anak, ibu bapa yang uzur, komitmen kerjaya, merancang masa depan, dalam masa yang sama, tubuh badan pula kurang memberi kerjasama.

FMT Ohsem menyenarai beberapa makanan yang dipilih sebagai wajib dimasukkan dalam diet lelaki khususnya menjelang usia 40-an oleh jurnal kesihatan, “International Journal of Obesity” terbitan 2009.

Makanan yang dinyatakan ini dipercayai membantu mereka dalam pelbagai aspek termasuk penjagaan berat badan, membekalkan nutrisi, mengurangkan kesan penyakit dan sebagainya.

1. Bijirin penuh

Makanan bijiran penuh memastikan anda mendapat nutrisi serat yang secukupnya selain protein, vitamin, pelbagai mineral dan phytokimia. Ia memberi kesan positif ke atas kandungan gula dalam darah, kolestrol LDL, tekanan darah serta penjagaan berat.

Serat membuat anda lebih kenyang untuk tempoh lama mengelak pengambilan snek tidak sihat. Ia memperlahankan rembesan glukosa dalam aliran darah sekaligus mengurangkan risiko diabetes. Lagipun kandungan asid laktik dalam bijirin membantu pertumbuhan bakteria baik yang membantu dalam penghadaman lebih baik yang turut meningkatkan kemampuan sistem imun.

2. Kacang merah (kidney bean)

Kacang merah atau kidney bean adalah sumber protein yang terbaik mengandungi 8 daripada 9 asid amino. Kandungan serat dalam kacang ini membantu mengelak diabetes dan penyakit berkaitan kardiovaskular. Ia mengurangkan indeks glisemik dengan mengelak peningkatan tahap gula selepas makan. Kita semua tahu betapa protein membantu menjaga kesihatan kulit dan rambut kerana ia kaya dengan folat, magnesium dan thiamine yang turut membantu meningkatkan sistem imunisasi dan tenaga.

Bagi mereka yang berusia, ingat, ia juga mengelak penuaan pra-matang, uban rambut, anaemia, kudis kanser dan sebagainya.

3. Walnut

Kaya dengan nutrisi minyak sihat iaitu Vitamin E dan melatonin, ia juga kaya dengan antioksidan. Ia mengurangkan proses penuaan dan masalah berkaitan penuaan. Kajian menunjukkan kandungan anti-oksidan dan anti-radang dalam walnut menjadikannya makanan terbaik terhadap sindrom metabolik.

Ia juga mengandungi nutrien yang turut mengurangkan risiko kanser prostat. Omega 3 (asid alpha lenolenic) pula memberi perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Pilihlah ia sebagai snek ketika menonton tv atau permainan bola sepak.

4. Teh hijau

Nutrisi teh hijau diketahui ramai dan kandungan anti-oksidannya membantu menentang diabetes. Pengambilan teh hijau yang kerap membantu dari segi tekanan darah, mengelak penyakit berkaitan kardio dan angin ahmar.

Kajian Harvard Medical School, Brigman, mendedahkan teh hijau bermanfaat terhadap tekanan darah tinggi, kolestrol dan keradangan. Satu lagi jurnal kesihatan dan nutrisi dari Jepun pula mengakui teh hijau memberi perlindungan terhadap kanser perut dan esofogus manakala kajian dari China pula mendedahkan ia juga melindungi anda dari kanser prostat.

5. Terung

Makanan yang sangat biasa diperolehi di mana-mana, tetapi tahukan anda ia juga membekalkan banyak nutrisi. Maka, jangan lupa masukkan terung dalam senarai belian di pasar. Sayur-sayuran berwarna ungu ini kaya dengan antioksidan, phytonutrient, fenolik dan flavonoids, rendah kalori, kaya dengan serat dan kandungan air.

Warna ungu pada terung menunjukkan kewujudan nutrisi antosianin yang mana sangat sukar diperolehi. Ini adalah ketua sayur dalam menentang kerosakan radikal bebas pada tubuh badan yang akhirnya menyebabkan masalah dari segi penuaan serta penyakit.

6. Jambu

Salah satu buah dengan kandungan Vitamin C yang tinggi. Setiap 100g membekalkan 212 mg Vitamin C, yang membantu sistem imuniti dan perlindungan terhadap penyakit. Ia juga sumber aktioksidan yang kaya. Buah ini juga dikatakan melindungi diri daripada kanser prostat dan membantu kesuburan. Kandungan potassium dalam buah ini pula membantu kesihatan otot serta tekanan darah. Baik untuk mereka yang menjadi berat badan.

7. Herba

Herba adalah bahan makanan yang menyihatkan sepanjang masa. Dalam kebanyakan herba, kandungan semulajadinya membantu tubuh menanggani tekanan. Herba seperti moringa, ashwagandha, ketumbar, akar likuoris dan ginseng misalnya digunakan secara zaman berzaman sebagai perubatan alternatif.

Kajian klinikal banyak dikendalikan bagi mendedahkan secara komersial kehebatan herba ini kepada tubuh badan. Kita semua sedia maklum, herba menjadi sebahagian besar daripada makanan tradisi harian.

8. Minyak

Minyak sangat penting untuk kesihatan kita. Sama ada anda sedang mengawasi berat badan atau peka terhadap kandungan kolestrol dalam badan, ia tidak bermakna anda perlu mengelak minyak. Minyak menambah rasa kepada makanan dan meningkatkan rasa kenyang. Paling penting ia membantu resapan Vitamins A, D, E, dan K.

Minyak menyediakan asid lemak yang diperlukan, tenaga dan berperanan tinggi terhadap kandungan cecair badan serta sel membran. Ingat, 20-25% kalori harian seharusnya dibekalkan oleh lelemak dan minyak.

Bagaimanapun, berpada-pada, ingat terdapat banyak pilihan minyak yang lebih sihat dan kaya nutrisi. Pilih minyak yang tinggi kandungan lemak baik. Antaranya minyak kekacang, minyak zaitun dan sebagainya.

9. Susu

Susu bukanlah makanan bayi semata-mata. Susu adalah minuman yang mengandungi kandungan lengkap nutrisi seperti protein, vitamin dan mineral. Segelas susu mempunyai 58 kalori dan 240mg kalsium dan sumber vitamin B12. Kalsium penting untuk kesihatan tulang, gigi dan menentang masalah angin ahmar. Jurnal “American Heart Association” menunjukkan terdapat hubungan rapat pengambilan susu dan bagaimana ia mengelak angin ahmar.

10. Coklat hitam

Kandungan flavonoids dalam serbuk koko terkenal dengan keupayaan untuk mengurangkan tekanan darah. Flavonoid merehatkan saluran darah dan membolehkan aliran darah lebih perlahan sekaligus mengurangkan tekanan.

Bagaimanapun kawal pengambilannya kerana ia juga kaya dengan kafein dan makan berlebihan boleh membalikkan manfaatnya. Flavonoid dalam coklat hitam mengurangkan radikal bebas kolestrol LDL dan mengelak masalah arteri tersumbat. Ia juga berfungsi untuk mencairkan darah, maknanya mengelak pembekuan darah. Pilih coklat dengan lebih 70% komposisi coklat hitam dan makan secara terkawal.

Sumber