BICARA mengenai hari konvokesyen, pasti ramai di kalangan pelajar terbayang detik gembira menerima skrol pengajian dalam majlis yang penuh bersejarah lagi gilang-gemilang.

Iyalah, bukan mudah menghabiskan masa bertahun-tahun memerah keringat berjuang siang dan malam demi mendapatkan segulung ijazah mahupun diploma sebagai bukti kejayaan akademik.

Pada hari istimewa itu juga, para graduan semestinya mengidamkan gambar menarik dirakamkan untuk dijadikan kenang-kenangan.

Namun situasi berbeza pula dialami seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini apabila topi akademik yang dipakai di kepalanya tertanggal ketika bersalaman sebelum menerima skrol.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Ahmad Zahier Arbi berdepan detik melucukan apabila topi akademiknya dua kali terjatuh ketika menerima skrol pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-33 yang berlangsung sejak Sabtu lalu.

Video insiden berdurasi 31 saat yang tular di laman sosial itu memaparkan dia kemudiannya cuba kembali mengambil skrol, namun topi akademiknya sekali lagi terjatuh bersama skrol berkenaan.

Membuatkan dia dengan keadaan gugup mengambil semula topi akademiknya sebelum berjalan laju berlalu pergi.

Namun pada ketika itu dia menyedari ‘sesuatu’ tidak bersamanya, membuatkan dia kembali mengambil skrol ijazah berkenaan sebelum meninggalkan pentas.

Menariknya, insiden lucu berkenaan dipercayai berpunca akibat daripada penggunaan minyak rambut yang tebal oleh Zahier di majlis konvokesyen berkenaan.

Zahier juga dikatakan mempunyai simpton rasa gugup sukar dikawal yang membawa kepada berlakunya kejadian tersebut.

“Dia memang jenis gugup teruk, rambut dia letak minyak rambut banyak sangat, jadi licin. Pakai topi mortar pun jadi mudah tercabut,” tulis Noorshahira Khatib yang merupakan rakan sefakulti Ahmad Zahier di ruangan komen.

Rakaman video berkenaan kemudiannya tular di media sosial selepas ditonton lebih 100,000 kali dan turut dikongsikan ramai netizen. – MYNEWSHUB.CC